Tuesday, February 17, 2009

Mutiara Nasihat Luqman al-Hakim Di Dalam Al-Qur’an .


Siapakah Luqman?

Majoriti ulama menjelaskan bahawa beliau adalah seorang hamba Allah yang soleh dan kuat beribadah. Beberapa riwayat turut menjelaskan bahawa beliau adalah seorang yang memiliki tubuh fizikal yang sasa dan kuat. Dia merupakan seorang hamba berketurunan Habsyi.

Di dalam al-Qur’an (31: 12), Allah menjelaskan bahawa beliau adalah di antara hamba-Nya yang diberikan hikmah.
Hikmah di sini membawa maksud kepada kefahaman yang mendalam dan ilmu yang begitu luas serta cara penyampaian yang begitu baik. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Perintah Menegakkan Solat, Menegakkan Kebenaran, Dan Bersabar Dengan Musibah

Allah Subhanahahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): (Luqman berkata) “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17) Allah menjelaskan bahawa Luqman memerintahkan anaknya supaya mengerjakan solat yang mana solat adalah merupakan ibadah yang paling utama bagi seseorang muslim. Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa perintah Luqman supaya anaknya menegakkan solat tersebut adalah dengan melaksanakannya dengan seluruh tatacaranya (sebagaimana solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam – pen.), rukun-rukunnya, dan waktu-waktu yang telah ditetapkannya. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir) Berkenaan penekanan solat dan pendidikan mengenainya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan kepada kita (maksudnya): “Perintahkan anak-anak kamu untuk melakukan solat bermula ketika mereka mencapai umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika tidak mahu melakukan solat) ketika berumur sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Lihat Shahihul Jami’, no. 5868)

Selanjutnya, beliau memerintahkan anaknya supaya melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar (menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran). Perlaksanaan ini sebenarnya membawa seseorang agar mengetahui perkara-perkara yang ma’ruf (baik) dan yang mungkar. Sekaligus, dalam menegakkannya akan membawa pelakunya supaya sentiasa melazimi sifat sabar. Dari sini, ia turut menzahirkan bahawa perbuatan amar ma’ruf nahi mungkar ini agak berat untuk dilaksanakan dan menuntut kesabaran serta kefahaman yang tinggi.

Tidak Sombong, Angkuh, dan Membanggakan Diri

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
(Luqman berkata) “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Surah Luqman, 31: 18) Dari sini, maksudnya adalah supaya jangan kita memalaingkan wajah dari seseorang di ketika sedang berbicara dengannya, atau di ketika mereka sedang berbicara dengan kita, sehingga ia menampakkan kesombongan dan keangkuhan. Tetapi yang sewajarnya adalah kita diperintahkan supaya sentiasa merendahkan diri/hati, serta sentiasa menampakkan wajah yang mesra/ramah terhadap mereka. (rujuk Tafsir Ibnu Katsir) Di dalam ayat yang lain, Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (Surah al-Isra, 17: 37) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Tidak (akan) masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walau pun sekecil zarah”. (Kemudian) ada seseorang yang berkata: “Sesungguhnya seseorang senang jika bajunya bagus dan kasutnya baik,” (maka) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah, dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”. (Hadis Riwayat Muslim) Di dalam hadis yang lain, dari hadis Haritsah bin Wahb al-Khuza’i radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “... Mahukah aku beritahu kamu, siapakah penghuni neraka?” Mereka menjawab: “Tentu”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Setiap orang yang kasar, tamak haloba, dan yang sombong”. (Hadis Riwayat Muslim)

Bersederhana Ketika Berjalan Dan Lembutkan Suara

“Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan serta lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman, 31: 19) Luqman menasihati anaknya supaya bersifat tawadhu’ (rendah hati), tenang, tidak tergesa-gesa dan tidak terlalu lambat dalam berjalan. Dia juga menasihati anaknya supaya tidak berlebih-lebihan dalam berbicara, dan tidak meninggikan suara untuk sesuatu yang tidak ada manfaatnya di dalam apa jua perbualan/bicara. Sehinggakan di sini beliau mengambil perumpamaan bagi suara yang buruk adalah seperti suara keldai. Seburuk-buruk perumpamaan bagi orang yang meninggikan suaranya di ketika berbicara adalah seperti keldai ketika bersuara. Dan adalah suara seperti ini sangat-sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Nasihat-nasihat Luqman yang dibawakan di atas tadi adalah sangat bermanfaat dan berguna. Sehingga ianya dirakamkan di dalam kitab suci al-Qur’an al-‘Azim. Ada beberapa hikmah dan nasihat-nasihat lain yang baik yang cukup banyak selain apa yang telah dibawakan. Namun, cukuplah dulu dengan beberapa nasihat yang utama di atas untuk sama-sama kita renungi dan mengambil pengajaran darinya.

No comments: