Wednesday, October 7, 2009

BENCANA ALAM : MUSIBAH ATAU AZAB


Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari bahawa segala musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, ribut taufan, kemarau tanah runtuh dan sebagainya, memang merupakan peristiwa alam ‘biasa’ yang sering melanda umat manusia. Musibah seumpama ini sebahagiannya merupakan suatu fenomena alam yang telah menjadi qadhâ’ (ketentuan) Allah, yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. Maha Kuasa. Allah s.w.t. berfirman: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah s.w.t.” (Surah al-Hadid [57] : 22) Musibah seperti ini bukanlah azab (hukuman) dari Allah s.w.t. ke atas manusia. Berbanding umat-umat terdahulu seperti umat Nabi Nuh, Nabi Luth, azab Allah s.w.t. bagi umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad saw) akan diterima diakhirat kelak bagi semua manusia yang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada-Nya. Akan tetapi, boleh jadi, musibah seumpama ini merupakan ‘ujian’ dari Allah s.w.t. untuk menguji tahap kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia Sementara itu, sebahagian musibah lainnya adalah akibat tangantangan manusia yang senantiasa gemar melakukan kerosakan di muka bumi ini. Musibah seumpama ini lebih merupakan ‘peringatan’ bagi umat manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir yang selama ini melanggar perintah Allah s.w.t. agar mereka kembali ke jalan-Nya. Allah s.w.t. berfirman: “Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Surah ar-Rum [30]: 41) Menurut Imam Jalalain dan Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan bimâ kasabat aydînnâs (akibat perbuatan tangan manusia...) adalah perbuatan-perbuatan maksiat/kerosakan. Ertinya, pelbagai kerosakan di darat dan di laut yang menimpa manusia adalah akibat kemaksiatan/ kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Di samping itu, musibah juga boleh terjadi dalam bentuk kesempitan hidup yang sejak akhir-akhir ini dialami oleh umat manusia, khususnya kaum Muslimin. ‘Musibah’ seumpama ini lebih merupakan ‘teguran’ sekaligus ‘ancaman’ ketika manusia yang berpaling dari peringatan-Nya. Seluruh ‘musibah’ di atas sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita, bahawa telah tiba saatnya untuk kita bertaubat kepada Allah s.w.t. Sebab, sebahagian besar musibah yang menimpa kita adalah akibat kurangnya kita mentaati Allah s.w.t. dan bahkan mencampakkan syariat- Nya. Ini kerana kemaksiatan terbesar yang kita lakukan adalah kita telah berpaling dari peringatan Allah s.w.t., yakni dengan mencampakkan syariat-Nya, maka taubat kita yang terbesar lagi sejati adalah kita kembali kepada syariat-Nya secara menyeluruh. Iaitu menjadikan Islam sebagai sistem yang mengatur hidup kita secara menyeluruh (bermasyarakat dan bernegara)

No comments: